Sunday 24 April 2016

Suburkan PLKN Demi Perpaduan Rakyat Malaysia - Naib Presiden Majlis Belia Malaysia Eric Choo







Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) ternyata membuka ruang kepada penyatuan kalangan masyarakat di Malaysia apabila mengumpulkan semua pelatih di bawah satu bumbung. Dari program PLKN, jurang perbezaan pendapat antara kaum mampu dikecilkan apabila semua kaum diberikan pendedahan dari awal mengenai sifat saling menghormati dan mengenali latar belakang antara kaum.

Majlis Belia Malaysia (MBM) turut mengalu-alukan Program Latihan Khidmat Negara yang telah dihentikan sementara berikutan kemerosotan ekonomi yang melanda negara. MBM turut berpendapat PLKN merupakan satu perancangan terbaik kerajaan dalam usaha merealisasikan seruan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri Dato Sri Hj Mohd Najib Tun Abdul Razak.



Menurut Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Eric Choo, program seumpama ini mampu mengeratkan perhubungan kalangan remaja dan seterusnya mampu membawa kepada penyatuan semua kaum di Malaysia tanpa mengira latar belakang kerana modul yang diterapkan PLKN mampu di terima dan di praktikkan selepas tamat latihan. Kewujudan Alumni PLKN juga turut membantu perkembangan hubungan antara bekas pelatih dan ini pastinya merupakan antara kejayaan PLKN yang boleh dibanggakan. Latihan PLKN bukan hanya tertumpu kepada satu modul dan ini menjadi intipati kepada PLKN.

 MBM menaruh kepercayaan tinggi bahawa PLKN 2.0 yang telah melalui siri kajian transformasi terus relevan kepada pembagunan jati diri belia yang mengorientasikan semangat perpaduan dan patriotik. 



MBM melihat PLKN2.0 yang kini bersifat inklusif telahpun merentasi 10 kementerian termasuk Kementerian Belia dan Sukan merupakan satu kaedah operasi yang lebih mendekati keperluan belia zaman sekarang. Kandungan PLKN 2.0 membentuk semangat sukarelawan dan perwatakan positif melalui penerapan nilai murni hidup dianggap pratikal di kalangan belia. 

Di samping tu, MBM menyokong penuh pelaksanaan Fasa 2 dalam PLKN 2.0 di mana pesertanya didedahkan kepada pelbagai kemahiran vokasional sampai tahap sijil dan diploma. Dijangka ia akan memainkan peranan signifikan agar belia dapat mendedahkan diri kepada potensi semula jadi yang ada pada dirinya. 

"Dengan pendedahan sedemikian, belia lebih senang menguasai kemahiran hidup yang bersesuaian dengan minat dan potensi yang ada padanya,"- Eric Choo.

 Eric Choo selaku Naib Presiden MBM mewakili Presiden MBM, Tn Hj. Mua'mar Ghadafi Jamaluddin ke majlis pelancaran itu. Majlis Pelancaran PLKN 2.0 dirasmikan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein Onn turut dihadiri YB Khairy Jamaluddin, Menteri Belia dan Sukan Malaysia.

No comments:

Post a Comment