Thursday 8 September 2016

'Mat Bunga' Ambil Alih Pemerintahan Dalam Pakatan Harapan?

Suasana Pilihanraya Umum Ke-14 pasti akan menjadi lebih menarik berikutan kelulusan ROS kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang baru diumumkan. Dengan kehadiran PPBM ini Pakatan Harapan kini beroleh satu lagi parti untuk bersama mereka dalam mencapai visi merampas Putrajaya dari Barisan Nasional.

Pakatan Harapan dalam nafas baru selepas membubarkan Pakatan Rakyat setelah menyingkirkan PAS dari gabungan melihat kehadiran PPBM merupakan satu kelebihan buat mereka dalam usaha mempengaruhi pengundi. Berbekalkan isu semasa (telah terjawap kebanyakannya), PH akan menggunakan pengaruh Tun Mahathir untuk berkempen dan meyakinkan rakyat untuk memberi peluang kepada mereka mentadbir Malaysia walau hanya sepenggal.

Slogan 'IniKaliLah' yang sinonim dengan DAP akan digunakan bagi kempen mereka setiap kali bertemu pengundi. Melihat potensi sokongan penyokong Mahathir,Muhyiddin dan Mukhriz, PH tidak ragu ragu untuk memberi ruang kepada PPBM bertanding di bawah satu bendera bersama mereka (walau tiada bendera rasmi PH).

Menariknya kali ini percaturan pembahagian kerusi antara mereka akan menimbulkan persoalan. Parti mana dari kalangan PH akan memperolehi kerusi majoriti dan bertindak sebagai 'anchor' pembangkang dalam PRU14? Seperti diketahui, Mahathir hanyalah Penasihat PPBM manakala Muhyiddin adalah Presiden sementara PPBM sebelum Mesyuarat Agung parti tersebut berlangsung. Tidak mustahil DAP akan tampil sebagai pemacu kepada PH dalam pembahagian kerusi agar tidak bertembung sesama mereka. Dari 222 kerusi di Parlimen pembahagian secara matematik mudah agak sukar mereka laksanakan kerana ini akan menimbulkan konflik siapa yang akan menerajui PH jika mereka berjaya merampas Putrajaya.

Jika pembahagian kerusi Parlimen sebanyak 222 dibahagikan samarata dalam PH termasuk PAS bermakna mereka hanya ada sekitar 44 kerusi untuk ditandingi dan ini bukanlah sesuatu yang akan memberi kelebihan kepada mana mana parti pembangkang dalam Malaysia untuk membentuk sebuah kerajaan stabil. Majoriti mudah dalam PRU juga dilihat sukar untuk di capai PH dengan pembahagian kerusi sesama mereka. Berbeza dengan Barisan Nasional yang menampilkan gabungan parti dari kaum terbesar mengikut turutan dalam Malaysia, setiap kerusi akan ditandingi kerana ini amat penting bagi mengekalkan kestabilan sekaligus menghalang ekonomi dari mengalami kejatuhan akibat kehilangan kepercayaan pelabur asing. Kestabilan politik yang BN selama hampir 6 dekad membuat pelabur asing yakin untuk melabur dan menjana ekonomi rakyat Malaysia malah membawa dimensi baru terhadap keyakinan pelabur yang mengintai peluang mengembangkan perniagaan mereka.

Mampukah PH menjamin kestabilan politik dengan perebutan kerusi antara mereka yang belum diputuskan lagi? Walau dengan kehadiran PPBM sekalipun belum tentu pelabur yakin dengan kemampuan pembangkang menjamin kestabilan ekonomi dan keselamatan mereka. Ini antara faktor sampingan mengapa PH perlu di tolak untuk menjadi kerajaan walau mereka bekerjasama dengan Mahathir sekalipun.

Bukti PH tidak mampu menjadi kerajaan stabil telah terbukti dalam Pilihanraya Negeri Sarawak (PRN Sarawak) Mei lepas. Perebutan sesama mereka mengakibatkan pertembungan lebih dari 3 penjuru dan ini menguntungkan BN yang kekal dengan konsep 1 lawan 1. Malah keberanian BN Sarawak menghadapi cabaran banyak penjuru dari PH memberi kesan positif dalam Pilihanraya Kecil (PRK) Sg Besar dan Kuala Kangsar dengan pertambahan majoriti di luar jangkaan.

Sesuatu yang PH tidak mampu sangkal ialah konsep BN yang bertanding dalam konteks muhibbah tidak ada dalam Pakatan Harapan. Calon BN yang bertanding akan menerima sokongan padu dari pelbagai kaum atas dasar kebersamaan dalam Barisan Nasional dan ini sesuatu yang sukar bagi PH lakukan walau bersama dengan parti yang turut mewakili kaum lain di Malaysia.

Harapan Pakatan kini bergantung kepada PPBM bagi menerobos kawasan yang sukar mereka tembusi dan ini akan menimbulkan sati polemik kepada PPBM kerana mereka akan mendakwa tanpa parti mereka PH tidak akan berjaya sekaligus akan meminta kelebihan untuk PPBM menjadi suara penentu dalam Pakatan. Adakah DAP yang memegang 'status quo' akan tunduk dengan parti 'orang kecewa' ini? Atau PKR akan bersatu suara dengan PPBM untuk menyingkirkan DAP dari Pakatan demi kepentingan parti politik mereka? Dengan pelbagai krisis dalaman yang melanda DAP dan PKR tidak mustahil akan berlaku ' tikam belakang' dalam Pakatan.

2 comments: