Thursday 17 November 2016

ANTARA DUA DARJAT - ADAM ROSLY MEWAH, ADAM ADLI REBAH, PKR SEDUT MADU BUANG BERSEPAH





ADAM DAN ADAM DUA DARJAT BERBEZA HIDUP - HABIS MADU SEPAH DI BUANG









PENDEDAHAN skandal kemewahan aset Ketua AMK PKR Cabang Ampang, Datuk Adam Rosly Abdullah menyebabkan ada membandingkan beliau dengan bekas aktivis pelajar, Adam Adli Abdul Halim.

Bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris yang dibuang pengajiannya itu suatu ketika dahulu pernah menjadi ‘ayam sabung’ pihak pembangkang khasnya PKR dalam setiap kali siri jelajah kempen politik mereka.

Namun, kedua-dua individu yang berkongsi nama sama ini memiliki jalan cerita berbeza. Adam Rosly yang aktif berpolitik dalam parti itu mendapat ganjaran kesenangan manakala Adam Adli kini tidak aktif lagi berpolitik.


Anak jati Kepala Batas, Pulau Pinang itu sebaliknya lebih menumpukan kepada kerja aktivis sukarelawan dengan sekadar hidup bersederhana dan dilaporkan sedang belajar secara sambilan dalam jurusan undang-undang.

Nama Adam Rosly, 28, menjadi kontroversi ekoran pendedahan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Yunos pada Isnin lalu berhubung kewujudan sebuah banglo misteri ala Disneyland di Kampung Melayu, Ampang.

Susulan itu, terbongkar rahsia beliau ada dua rumah di Putrajaya dan Ampang Saujana Elite serta kenderaan mewah antaranya ialah Mercedes-Benz CLA250, Mercedes-Benz CLS, BMW Z4, Mini Cooper dan Range Rover Evoque.

Senario tersebut jauh berbeza dengan Adam Adli, 27, bekas aktivis pelajar itu kini lebih banyak meneruskan kerja-kerja aktivis dengan pertubuhan bukan kerajaan malah tidak bermewah-mewah seperti mana Adam Rosly.


Walhal ketika Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu, hampir semua ceramah pembangkang menampilkan Adam Adli di atas pentas dengan pimpinan utama PKR termasuk idolanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ramai tokoh lain.

Bagaimanapun kebelakangan ini, nama Adam Adli seperti dilupakan banyak pihak waima pembangkang sendiri dan beliau juga tidak lagi kelihatan sepentas dengan barisan pemimpin Pakatan Harapan (dahulunya Pakatan Rakyat).

Portal berita tempatan BNBBC.my berjaya mendapatkan reaksi Adam Adli berhubung dengan isu kontroversi membabitkan Adam Rosly yang mendapat Datuk pada usia muda hatta sudah mengecapi kemewahan luar biasa.

“Saya tidak ada sebarang perkara hendak kecam pada mana-mana individu, apa lagi perkara itu belum dibukti salah benarnya. Cuma suka saya berkongsi rasa dan pandangan, iaitu lazimnya, lihat balik kepada lipatan sejarah.

“Antara tanda awal bibit kejatuhan sebuah kerajaan hebat mahupun empayar besar itu adalah apabila rakyatnya sedang hidup dalam keadaan sukar, tetapi pemimpinnya pula dilihat makin mewah dan senang lenang.

“Ini telah diajar dalam sejarah moden kita sendiri. Baik di Perancis, di Iran, di Mesir, di Indonesia, di Filipina, di Rusia, di mana-mana negara sahaja di dunia ini,” tegas Adam Adli kepada portal prokerajaan Pusat itu.

Beliau juga membangkitkan kisah kejatuhan kerajaan Barisan Nasional (BN) di Selangor pada 2008 apabila rakyat negeri itu menghukum parti pemerintah yang ‘terleka’ dan tidak menjaga kepentingan rakyat bawahan.

“Di Selangor dahulu pun, apabila rakyat melihat pemimpinnya mewah, tapi rakyatnya masih menunggu rumah kos rendah mereka tolak BN. Dan apabila jatuh pula, jangan diharapkan rakyat akan berasa simpati.

“Tiada satu pun pemimpin mewah dalam negara atau negeri yang masih lagi rakyatnya pula kena hidup susah, akan dikasihani kembali oleh rakyatnya setelah mereka itu jatuh. Malah selama-lamanya pula akan dihina.

“Maka sebab itu, saya fikir wajar untuk kita berhati-hati dalam menilai duduk letak diri jika mahu jadi pemimpin,” katanya sambil berpesan kepada Adam Rosly, supaya pemimpin muda itu berpada-pada mengumpul kekayaan.

Ini kerana sebagai pemimpin kecil dalam parti, tanggungjawab sebenar mereka adalah untuk menjaga kepentingan rakyat marhaen yang teruk tertindas dan bukan pula hidup bermewah-mewah dengan segala macam aset mahal.

“Kita hormati hak individu masing-masing untuk kumpul kekayaan diri sendiri, untuk pilih gaya hidup masing-masing, cuma untuk bergelar pemimpin yang mewakili rakyat tertindas, maka kenalah berpada-pada juga.

“Penilaian kita biar waras. Ini saya kira pedoman yang baik untuk semua yang bergelar pemimpin. Terserah kepada pendirian masing-masing untuk menerima atau tidak,” luah Adam Adli lagi. – Agensi/Mynewshub

No comments:

Post a Comment