Wednesday 16 November 2016

PISAU DAN PARANG TERBANG DALAM PKR - SIAPA MENIKAM DAN SIAPA KENA TIKAM?


KRISIS DALAMAN PKR MERUNCING - PISAU,PARANG TERBANG DALAM PARTI





Viral dalam laman media sosial sepucuk surat 'terbuka' dari seorang ahli PKR meluahkan kekecewaannya terhadap pimpinan tertinggi parti 'anak beranak Anwar'.

Shafiq bin Abdullah yang mengaku sebagai ahli PKR Cabang Ampang ternyata terlalu kecewa dengan permainan politik 'kronisme' yang selama ini berkembang dalam PKR walau 'Ketum' (ketua umum) menentang perkara ini dari terjadi dalam parti tersebut.

Ternyata krisis perebutan 'takhta' dalam PKR sudah tidak dapat disorokkan di bawah tudung saji dan ia menjadi 'barah' yang semakin merebak dalam parti yang sering mendakwa mereka mengamalkan ketelusan. Berapa lama lagi parti ini mampu bertahan dengan pergelutan dalaman di tambah dengan isu melibatkan ahli parlimen Ampang yang dikatakan menggaji seorang pembantu yang memiliki harta "Ahmat Albab"?

Rakyat Selangor khususnya perlu sedar bahawa PKR hanya berjuang untuk kepentingan mereka dan rakyat hanyalah sebagai retorik penyedap cerita dongeng. Mereka harus sedar dari lamunan panjang yang selama ini didendangkan PKR bagi mengaburi mata rakyat.

Berikut adalah isi kandungan surat terbuka yang viral dalam media sosial.


16 NOVEMBER 2016




ISU DI AMPANG : SURAT TERBUKA UNTUK PRESIDEN PKR




Kehadapan Kak Wan,




Saya Mohd Shafiq Bin Abdullah ahli PKR dalam Cabang Ampang dan juga penduduk serta pengundi dalam Parlimen Ampang. Tujuan saya menulis surat ini kepada Kak Wan untuk menjelaskan situasi yang berlaku di Ampang agar ianya sampai ke pengetahuan Kak Wan. Jika bukan dengan cara begini saya yakin suara saya dan rakan-rakan di Cabang Ampang tidak akan sampai atau jadi perhatian kepada Kak Wan. Selaku Presiden Kak Wan perlu bertindak segera mengatasi kemelut yang timbul demi untuk mempertahankan Selangor dalam pilihanraya umum akan datang.




Kak Wan, kemelut yang timbul hari ini bukanlah perkara baru.Sebelum-sebelum ini telah banyak kali perkara ini disuarakan kepada pihak atasan parti , tetapi seolah-olah tiada tindakan dari parti. Cerita tentang kerakusan YB Zuraidah yang ‘menyamun’ kontraktor-kontraktor dan pemaju-pemaju perumahan telah menjadi buah mulut di Ampang sejak beberapa tahun lepas lagi. Tetapi parti mengambil sikap membuta dan membisu.Adakah orang-orang diatas dalam parti turut disuap oleh YB Zuraidah ? Atau Kak Wan juga turut menerima kondo-kondo kuota percuma YB Zuraidah yang diberikan oleh para pemaju perumahan untuk setiap projek yang dimajukan di kawasan Ampang ?




Apa yang berlaku sehari dua ini sungguh memalukan. Jika dari dulu parti bertindak, tiadalah episod menikam sesama sendiri yang berlaku hari ini sehingga melondehkan habis segalanya. Tahukah Kak Wan dari mana bermulanya episod tikam menikam sendiri hari ini ?




Ianya bermula dari orang yang sering berada disebelah Kak Wan. Iaitu setiausaha agung parti kesayangan Kak Wan yang juga Ahli Parlimen Pandan yang bersebelahan dengan Parlimen Ampang. Beliaulah yang menggunakan pihak keempat atau kelima untuk menyampaikan maklumat kepada Jamal. Beliau cukup pandai baling batu sembunyi tangan. Ya selama ini hubungan mereka berdua amat rapat ketika bersama membelasah Shahrizat Jalil dalam isu NFC. Ketika itu YB Pandan hari ini belum bergelar YB lagi.




YB Pandan memanggil YB Ampang dengan gelaran Kak Zu. Manakala YB Ampang memanggil YB Pandan dengan gelaran Adinda Rafizi. Namun segalanya berubah selepas Langkah Kajang dan YB Azmin dilantik MB Selangor. Mereka berdua bersama dalam isu NFC. Apabila disaman hanya YB Pandan seorang sahaja yang diheret ke mahkamah. YB Ampang mengambil sikap lepas tangan. Janji-janji manis untuk menolong yuran guaman hanya tinggal janji. Selepas tewas di mahkamah dalam isu NFC minggu lepas, YB Pandan telah menghubungi YB Ampang meminta bantuan kos yuran guaman dan kos mahkamah termasuk kos untuk memfailkan rayuan. YB Ampang mengambil sikap lepas tangan. Berang dengan tindakan YB Ampang membuatkan YB Pandan telah menyalurkan maklumat kepada pihak-pihak tertentu untuk disampaikan kepada Jamal. Pihak-pihak tertentu pula menggunakan pihak keempat atau kelima untuk sampaikan maklumat itu kepada Jamal. Itulah kelicikan setiausaha agung kesayangan Kak Wan mewujudkan beberapa lapisan agar tidak nampak maklumat itu datang daripadanya. Kecekapan beliau membunuh karektor seseorang tidak boleh dinafikan.




Kak Wan, mereka-mereka semua ini bukan sahaja telah mencalarkan parti. Tetapi turut membebankan parti. Jika Kak Wan betul-betul ada keberanian sebagaimana beraninya Kak Wan melawan UMNO dan BN, maka Kak Wan kena tunjukkan ketegasan mengambil tindakan keatas mereka sekarang sebelum keadaan menjadi parah dan merebak kepada ahli-ahli lain. Kak Wan kena tunjukkan kepada rakyat bahawa parti kita tiada kompromi dalam isu-isu yang melibatkan rasuah. Jika Tan Sri Khalid Ibrahim yang tidak terpalit dengan sesen rasuah dan hanya kerana enggan melepaskan jawatan MB, boleh dipecat dari parti atas alasan tidak mengikut arahan parti, kenapa mereka-mereka yang terlibat dengan skandal yang memalukan dan mensabotaj parti tidak boleh diambil tindakan ?




Kak Wan, dalam setiap kursus yang kita hadiri kita diminta supaya memainkan isu dan menyerang Rosmah supaya rakyat membencinya dan seterusnya akan membenci Najib dan UMNO. Rosmah tidak bertudung, Rosmah rakus, Rosmah jahat, Rosmah rasuah dan macam-macam lagi. Tiba-tiba orang kita sendiri, YB Ampang yang berhijab penuh, pakaian menutup aurat dari kepala hingga ke tapak kaki yang haloba dan rakus. Sebagai wanita islam dan mempunyai kuasa apakah Kak Wan tidak merasa bersalah terhadap Allah jika Kak Wan tidak bertindak ? Apakah Kak Wan tidak merasa bersalah membenarkan ahli-ahli parti menyerang dan memfitnah seorang wanita lain kerana beliau tidak menutup aurat tetapi menyorok kesalahan wanita sendiri di dalam hijabnya ?




Sebagai penutup, saya mengulangi sekali lagi agar Kak Wan tidak boleh berdiam diri dalam hal ini dan perlu bertindak dengan segera mengambil tindakan terhadap mereka. Kak Wan perlu adil kepada Tan Sri Khalid Ibrahim dan rakyat Selangor yang menyokongnya. Jika tiada tindakan segera maka kita bolehlah ucapkan selamat tinggal kepada Selangor dalam pilihanraya umum akan datang. Tiada gunanya kita menghabiskan peluru menentang musuh jika di dalam rumah kita pisau dan parang berterbangan menikam dan mencincang sesama sendiri.




Sekian




Yang Benar




Shafiq Bin Abdullah

No comments:

Post a Comment